Ramai di antara kita yang meluangkan masa yang banyak di internet setiap hari dalam aktiviti seperti menonton video, membeli-belah, bermain permainan video, membayar bil sehinggalah menguruskan tugasan kompleks ke mengadakan sidang video yang sulit. Rangkaian Peribadi Maya (VPN) adalah salah satu cara terbaik untuk kekal peribadi dan selamat dalam talian, dan memastikan data peribadi anda dilindungi.
Bagaimana VPN berfungsi?
VPN adalah satu alat yang membolehkan anda mengakses internet dengan selamat di mana saja anda berada. VPN berfungsi dengan cara membuka satu "terowong" di antara peranti dengan pembekal VPN, dan ia melindungi anda dalam dua cara:
- Menyembunyikan alamat IP anda, melindungi identiti serta lokasi anda.
- Mengenkripsi trafik di antara anda dan penyedia VPN agar tiada sesiapa pun dalam rangkaian tempatan anda dapat mengurai atau mengubah suainya.
Pada masa lalu, VPN digunakan terutamanya oleh pihak korporat untuk membolehkan akses jarak jauh yang selamat ke perkhidmatan dalaman dan data persendirian mereka. Kini, VPN boleh didapati untuk sesiapa sahaja yang ingin melindungi sambungan mereka ke internet, terutama ketika menggunakan rangkaian kurang selamat seperti WiFi awam, bahkan lebih berguna di rangkaian rumah.
VPN akan melindungi trafik yang anda hantar di antara anda dan penyedia VPN anda, sama ada melalui pelayar, aplikasi atau lain-lain perkhidmatan. Untuk menyediakan VPN, anda perlu membuka akaun dengan penyedia VPN dan memasang perisian VPN pada komputer atau telefon pintar anda. Apabila diaktifkan, VPN akan mengendalikan trafik daripada semua perisian dan aplikasi yang berjalan pada peranti anda, agar anda dapat melayari dan berkomunikasi dengan bebas di atas sambungan rangkaian peribadi yang selamat.
Penyedia VPN biasanya menawarkan pelbagai jenis gerbang sambungan di lokasi yang berlainan, yang membolehkan anda menggunakan alamat IP dari penempatan yang berbeza dari lokasi anda. Dengan cara ini, lokasi di mana anda ingin hubungi melihat IP milik VPN dan bukannya alamat IP sebenar, sebagai sumber trafik anda. Mozilla VPN mengarahkan trafik anda melalui pelayan yang selamat dan membolehkan anda memilih lokasi lebih dari 30 negara.
Bilakah saya harus menggunakan VPN?
Bersambung ke rangkaian WiFi awam percuma amat memudahkan, contohnya apabila anda tiada rangkaian internet ataupun kehilangan isyarat mudah alih. Namun, berhubung ke WiFi awam juga mempunyai risiko yang tersendiri. Mustahil untuk menentukan yang tiada pihak lain sedang berhubung dengan rangkaian yang sama untuk mengintip aktiviti anda. Sekali pun trafik anda dienkripsi, mereka masih mampu melihat laman-laman web yang anda lawati. Dan jika anda menggunakan aplikasi yang tidak boleh dienkripsi — dan hinggalah ke hari ini, banyak yang tidak — maka, pihak lain masih mampu melihat apa yang anda lakukan.
Apabila anda di rumah, risiko kemunculan pihak berniat jahat dalam rangkaian di rumah agak rendah. Namun, penyedia perkhidmatan internet (ISP) boleh menjejaki dan berkongsi aktiviti dalam talian anda kerana kesemua data yang anda akses akan diarahkan melalui rangkaian ISP, dan ada di antaranya tidak dienkripsi. VPN mampu menghalang ISP daripada mengintip anda dengan cara mengenkripsi trafik anda ke penyedia VPN di mana jua anda berada.
Tunggu dulu, saya ingatkan trafik internet saya dah pun selamat dienkripsi dengan HTTPS…
Apa yang dimaksudkan dengan laman web yang dijamin keselamatannya dengan HTTPS adalah kandungannya, bukan alamat IP sumber atau destinasinya yang dienkripsi. Khidmat VPN menawarkan privasi tambahan dengan menghalang laman web serta pihak ketiga daripada mengetahui alamat IP anda.
Mengapa saya mahu menggunakan VPN?
Menyembunyikan identiti dan menutup trafik web anda bunyinya seperti sesuatu tindakan pengintip antarabangsa atau penggodam aktivis. Namun, terdapat beberapa sebab yang kukuh untuk anda menggunakan VPN, termasuklah:
- Mengekalkan privasi aktiviti dalam talian anda.
- Mengekalkan privasi lokasi rumah atau tempat-tempat yang sering anda lawati.
- Melindungi sambungan anda ke rangkaian WiFi awam seperti di kafe, lapangan terbang, kedai atau perpustakaan.
- Memastikan kerahsiaan dan integriti akses anda ke internet.
- Menjadikannya lebih sukar bagi rangkaian pengiklanan menggunakan IP anda membina profil sasaran pengiklanan yang menjejak anda di seluruh web.
Apakah kelemahan menggunakan VPN?
Sesetengah pembekal perkhidmatan menyekat pelayaran yang dibuat menerusi VPN, menjadikan kandungan mereka tidak boleh diakses jika VPN digunakan. Sesetengah VPN akan melambatkan anda, atau mengehadkan jalur lebar anda. Ada juga VPN yang mempunyai kedudukan yang corot dalam soal menghormati privasi dan keselamatan pengguna.
Adakah VPN selamat?
Untuk mencari VPN yang dipercayai memang sukar. VPN bertujuan melindungi pengguna mereka sewaktu dalam talian, namun tidak semua VPN setaraf dari segi perkhidmatan yang mereka berikan. Dalam proses mencari perkhidmatan VPN, pastikan anda faham terma dan syarat yang anda persetujui. Banyak syarikat yang mengaku menjadi juara privasi tetapi pada masa yang sama banyak juga yang tidak memenuhi janji mereka itu. Ada di antara syarikat ini yang akan merekod aktiviti dalam talian anda agar mereka dapat menjual data dan maklumat ini kepada firma pemasaran. Ada juga VPN yang meyakinkan anda memasang perisian hasad dalam peranti anda.
Kami telah menjalankan kerja yang teliti bagi memastikan Mozilla VPN menghormati privasi anda, dan kami meletakkan reputasi kami sebagai pertaruhannya. Mozilla mempunyai reputasi sebagai pembangun produk yang membantu mengekalkan keselamatan maklumat anda. Kami mematuhi Prinsip Privasi Data kami yang mudah difahami yang membolehkan kami untuk hanya fokus kepada maklumat yang kami perlukan demi memberikan perkhidmatan kami. Teknologi Mozilla VPN amat ringkas dan moden untuk menawarkan pengguna sambungan yang pantas dengan perlindungan dan keselamatan VPN sepenuhnya. Dan kerana pembangun VPN ini disokong sepenuhnya oleh syarikat yang didorongi misi, percayalah bahawa wang yang anda belanjakan untuk perkhidmatan ini bukan hanya memastikan VPN anda yang terbaik, malah menjadikan internet menjadi lebih baik untuk semua.
Mampukah VPN melindungi saya daripada penjenayah siber?
Walaupun VPN menyediakan sambungan yang selamat ke internet, ia tidak melindungi anda dari semua pelaku buruk di luar sana. Setiap kali anda berada dalam talian, dengan atau tanpa VPN, anda harus berhati-hati dengan pautan yang mencurigakan, kempen yang memanipulasikan maklumat, penipuan data dan lain-lain ancaman. Kekal selamat dalam talian adalah corak pemikiran setiap hari.
Adakah VPN sah disisi undang-undang?
Memasang dan menggunakan VPN ketika ini masih sah di sisi undang-undang bagi kebanyakan negara termasuklah Amerika Syarikat, UK, Kanada dan New Zealand, namun sesetengah negara akan mengawal penggunaannya. Jika anda memilih untuk menggunakan VPN, menjadi tanggungjawab anda memeriksa undang-undang negara tersebut bagi menentukan sama ada penggunaannya sah atau tidak.
Adakah VPN hanya untuk komputer?
VPN boleh digunakan untuk melindungi semua peranti — komputer, komputer riba, tablet dan telefon. Sekiranya anda mengakses internet melalui aplikasi yang berdiri sendiri di luar penyemak imbas, VPN adalah pilihan yang baik untuk melindungi privasi dan keselamatan anda untuk sebarang peranti. Anda perlu memasang VPN bagi setiap peranti tersebut agar ia efektif. Mozilla VPN menawarkan sambungan tanpa had sehingga lima peranti berbeza sewaktu anda menghubungkan internet daripada sebarang aplikasi atau pelayar web.
Mozilla VPN: Pantas, selamat, dipercayai
Mozilla VPN adalah perkhidmatan yang boleh anda percayai bagi memastikan sambungan anda ke internet selamat untuk semua peranti anda. Kami tidak menyimpan log aktiviti anda, dan kami tidak bersekongkol dengan pihak ketiga yang membina profil melalui aktiviti anda dalam talian. Dalam dunia di mana ketidaktentuan menjadi "norma baharu", kami tahu betapa pentingnya sekarang untuk kekal selamat, dan untuk anda tahu bahawa aktiviti dalam talian adalah hak peribadi anda.