Soalan Lazim Privasi Data Mozilla

Kami Mengutamakan Pengguna Daripada Keuntungan.

Adalah sukar bagi orang mengetahui apa yang diharapkan daripada perisian atau perkhidmatan yang mereka gunakan hari ini. Teknologi yang memperkasakan kehidupan kita hari ini amat rumit dan pengguna tidak mempunyai masa untuk mendalami butirannya. Hal yang sama dialami Firefox di mana pengguna mempunyai idea yang berbeza tentang apa yang berlaku di sebalik teknologi pelayar mereka.

Di Mozilla, kami menghormati dan melindungi maklumat peribadi anda:

  • Kami mengikuti satu set Prinsip Privasi Data yang membentuk pendekatan kami terhadap privasi pelayar desktop dan mudah alih Firefox.
  • Kami tekad hanya untuk mengumpul data yang kami perlukan untuk membangunkan produk yang terbaik.
  • Tugas kami adalah untuk membolehkan pengguna mempunyai kawalan ke atas data dan pengalaman dalam talian mereka sepenuhnya.
  • Kami mematuhi prinsip “tiada kejutan”, maksudnya kami bekerja keras memastikan pemahaman pengguna tentang Firefox selaras dengan realitinya.

Soal jawab berikut ini mampu membantu anda memahami apa yang boleh anda harapkan daripada Mozilla dan Firefox:

Saya menggunakan Firefox untuk hampir kesemua benda di internet. Anda yang bekerja di Mozilla tentunya tahu banyak perkara tentang saya, bukan?

Mozilla tidak tahu sebanyak yang anda sangkakan tentang bagaimana pengguna melayari internet. Firefox, pelayar web yang berfungsi pada peranti atau komputer anda adalah gerbang anda ke internet. Pelayar anda akan menguruskan banyak maklumat tentang laman web yang anda kunjungi, tapi maklumat itu kekal di dalam peranti anda.

Nampaknya seperti setiap syarikat di internet membeli dan menjual data saya. Tentu Firefox juga tiada bezanya.

Mozilla tidak menjual data anda (sebagaimana spekulasi banyak pihak tentang "menjual data", dan kami juga tidak membeli data tentang anda. Kerana ketelusan adalah antara matlamat kami, selain definisi "penjualan data" amatlah luas di sesetengah tempat, kami perlu mengambil satu langkah ke belakang daripada membuat sebarang kenyataan sembarangan. Kami memastikan data yang dikongsi dengan rakan perniagaan kami (yang perlu dilaksanakan agar Firefox berdaya maju secara komersial) tidak mengandungi sebarang maklumat pengenalan, atau dikongsi secara berkumpulan, atau diuruskan oleh teknologi pemelihara privasi (seperti OHTTP).

Jadi, bagaimana Firefox menjana wang?

Mozilla bukan organisasi yang biasa. Diasaskan sebagai projek komuniti sumber terbuka pada 1998, Mozilla ialah organisasi yang didorong oleh misi ke arah menjadikan internet lebih sihat. Kebanyakan hasil pendapatan Mozilla Corporation adalah daripada royalti yang diterima daripada kerjasama pelayar internet Firefox dan perjanjian pengedaran di serata dunia. Anda boleh tahu lebih banyak tentang cara kami menjana pendapatan di dalam laporan kewangan tahunan kami.

Okay, mula-mula tadi mudah saja. Data apa yang anda kumpulkan?

Mozilla ada mengumpul set-set data yang terhad secara lalai daripada Firefox yang membantu kami memahami bagaimana pengguna menggunakan pelayar. Anda boleh membaca lagi tentang notis privasi kami dan bacalah laporan penuh untuk pengumpulan data tersebut. Kami menjadikan dokumentasi kami terbuka agar semua pihak boleh mengesah kebenaran yang kami katakan, maklumkan kami jika penambahbaikan diperlukan, dan yakin sepenuhnya bahawa kami tidak menyembunyikan apa-apa.

Adakah anda mengumpul lebih banyak data dalam versi pra-lancar Firefox?

Lebih kurang. Selain daripada data yang diterangkan di atas, kami menerima laporan kerosakan dan ralat secara lalai dalam versi pra-lancar Firefox.

Kami juga mengumpul data tambahan dalam pra-lancar untuk tujuan kajian kami. Contohnya, ada kajian memerlukan apa yang dipanggil "data pelayaran", yang mungkin termasuk URL dan lain-lain maklumat tentang laman web tertentu. Ini membantu kami menjawab soalan-soalan tertentu bagi meningkatkan Firefox, seperti bagaimana untuk mengintegrasikan laman web popular dalam penempatan tertentu.

Mozilla versi pra-lancar Firefox adalah platform pembangunan, yang kerap dikemas kini dengan ciri-ciri eksperimen. Kami mengumpul lebih banyak data semasa pra-lancar berbanding pasca lancar demi memahami bagaimana ciri-ciri eksperimen ini berfungsi. Anda boleh memilih untuk tidak bersetuju jenis data ini dikumpulkan dalam pilihan.

Tetapi mengapa anda mengumpulkan data sama sekali?

Jika kami tidak tahu bagaimana prestasi pelayar atau ciri mana yang digunakan, kami tidak dapat menjadikannya lebih baik dan memberikan anda produk yang lebih baik seperti yang anda mahukan. Kami telah banyak melabur dalam membina alat pengumpulan data dan analitik yang membolehkan kami membuat keputusan bijak tentang produk namun tetap menghormati privasi pengguna. Anda boleh tahu lebih lanjut tentang teknologi pemelihara privasi yang kami gunakan seperti OHTTP.

Pengumpulan data masih mengganggu saya. Bolehkah saya menutupnya terus?

Boleh. Kawalan pengguna merupakan prinsip privasi data kami. Kami mempraktikkannya dengan Firefox dalam laman tetapan privasi yang berfungsi sebagai pusat setempat bagi sesiapa yang mahu mengawal sepenuhnya privasi mereka dalam Firefox. Anda boleh menutup terus pengumpulan data di sana.

Bagaimana dengan data akaun saya?

Kami mendukung prinsip pengecilan data dan tidak akan meminta benda yang kami tidak perlukan.

Anda tidak memerlukan akaun untuk menggunakan Firefox. Akaun hanya diperlukan jika penyelarasan data di seluruh peranti diperlukan. Namun kami hanya mahukan alamat e-mel dan umur anda (untuk memastikan anda bukannya kanak-kanak).

Anda menggunakan pengiklanan digital sebagai pelan pemasaran. Adakah anda membeli data pengguna demi mensasarkan iklan digital anda?

Tidak, kami tidak membeli data pengguna untuk membuat pengiklanan bersasar.

Kami meminta rakan pengiklanan kami untuk hanya menggunakan data pihak pertama yang diketahui oleh laman web dan penerbit mengenai semua pengguna, seperti pelayar dan peranti yang digunakan.

Nampaknya anda betul-betul menghormati pengguna anda.

Sudah tentu.

Ketahui lebih lanjut tentang bagaimana Mozilla melindungi internet.