Penyekat iklan – senjata rahsia dalam memerangi iklan menjengkelkan.

Semakin banyak iklan, semakin kurang kesabaran… Tiba masanya untuk kita hentikan kegilaan ini.

Secara purata, orang biasa melihat 4,000 iklan sehari. Jika anda rasa itu terlalu banyak, jadikan penyekat iklan kawan baik anda yang baru.

Penyekat iklan ialah sejenis perisian yang boleh digunakan untuk menyekat iklan dan ia berfungsi dengan dua cara. Cara pertama ialah, penyekat iklan akan menyekat isyarat daripada pelayar pengiklan supaya iklan tidak akan ditunjukkan pada halaman anda. Cara lain penyekat iklan berfungsi adalah dengan menyekat bahagian pada laman web yang boleh jadi iklan.

Iklan-iklan ini mungkin iklan video yang kuat, iklan yang mengekori anda di seluruh web, penjejak, kuki pihak ketiga dan lain-lain lagi. Untuk menggunakan penyekat iklan, anda boleh cari tambahan penyekat iklan yang tersedia di pelayar anda. Firefox, misalnya, ada senarai tambahan penyekat iklan yang sah ini. Klik senarai ini (atau penyekat iklan yang diluluskan untuk pelayar anda) dan cari yang sesuai dengan keperluan anda.

Dapatkan penyekat iklan yang sesuai untuk anda

Ada pelbagai jenis penyekat kandungan yang ada di pasaran, namun Mozilla ada beberapa cadangan untuk anda…

Sebagai penyekat iklan bertaraf emas yang diiktiraf ramai, uBlock Origin termasyhur kerana keberkesanannya. Ia boleh disuai padan, malah mampu berfungsi "di luar kotak" dengan tiada tandingan.

AdGuard AdBlocker mematahkan serangan pengiklan dari semua arah. Ia menyekat iklan di internet, media sosial, termasuklah pop timbul yang menjengkelkan (namun jika hanya penyekat pop timbul yang anda mahukan, Popup Blocker patut menjadi pilihan anda).

Ghostery merupakan satu lagi pilihan yang baik dan bukan saja menyekat iklan, malah berfungsi juga sebagai anti-penjejak.

Semua perisian ini boleh diguna pakai dengan kedua-dua Firefox untuk komputer dekstop dan Android.

Cipta zon bebas penjejak dengan Sekatan Kandungan

Pada Firefox, anda boleh gunakan tetapan Privasi atau Sekatan Kandungan untuk mendapatkan lebih kawalan terhadap penjejak iklan yang menghantar iklan kepada anda.

Pilih tahap perlindungan anda

Klik lencana di sebelah kiri alamat laman web bagi sebarang laman web dan pilih "Tetapan Perlindungan". Ini akan membuka panel Tetapan Privasi & Keselamatan Firefox pada tab yang baru. Anda akan melihat pop-timbul berwarna biru dengan pilihan yang berlainan.

Mudah dengan mod Standard

Jika iklan tidak mengganggu anda dan anda tidak kisah diekori oleh penjejak dan kuki pihak ketiga, maka tetapan Standard ini yang terbaik untuk anda. Bagi mengelakkan penjejak mencari anda dalam mod Standard, gunakan tetingkap Pelayaran Peribadi.

Berkeras dengan mod Tegas

Jika melihat terlalu banyak iklan boleh merosakkan hari anda, maka mod Tegas lebih sesuai. Mod ini akan menyekat penjejak dan kuki pihak ketiga yang diketahui dalam semua tetingkap Firefox.

Mod Penyesuaian Tetapkan sendiri

Tetapan Penyesuaian memberikan anda pilihan muktamad. Anda boleh tentukan perkara yang anda sekat termasuk penjejak, kuki dan banyak lagi. Jika anda membenarkan kuki daripada laman web, anda akan berada dalam mod Penyesuaian secara automatik.

Tutup bekas laluan anda, sekat si penjejak

Klik pada kotak Penjejak dan anda akan dapat menyekat penjejak dengan dua cara. Salah satu cara untuk menyekat penjejak adalah dengan melakukannya semasa anda sedang dalam Tetingkap Peribadi. Cara lain untuk melakukannya adalah dengan menyekat penjejak dalam semua tetingkap. Perlu diingat bahawa jika anda memilih untuk terus menyekat penjejak, sesetengah halaman mungkin tidak dapat dimuatkan dengan betul.

Kurangkan sebahagian daripada kuki

Kuki dihantar oleh laman web yang anda kunjungi. Ia hidup di komputer anda dan memantau perkara yang anda lakukan di laman web. Apabila syarikat penerbangan menaikkan harga tiket anda kerana anda ada menyemak tiket kapal terbang sekali pada hari itu, itulah hasil kerja kuki.

Di Firefox, anda boleh menyekat semua kuki pihak ketiga atau hanya yang ditetapkan oleh penjejak. Ambil perhatian bahawa menyekat semua kuki boleh merosakkan sesetengah laman web.

Hantar isyarat Jangan Jejak

Jika anda tidak mahu tingkah laku dalam talian anda digunakan untuk iklan, anda boleh mengirim surat "tak mengapa, terima kasih" yang sopan kepada laman web dengan menandakan pilihan Jangan Jejak Firefox. Penyertaan adalah sukarela, tetapi laman web yang menyertai akan berhenti menjejaki anda dengan serta-merta.

Segera ucapkan terima kasih kepada penyekat iklan

Dalam sesetengah keadaan, penyekat iklan boleh membantu pelayar anda bergerak lebih pantas. Ketika iklan dimuatkan, ia boleh melambatkan laman web. Pada masa yang sama, mendapatkan sesuatu yang ingin dicari akan mengambil masa yang lebih lama kerana anda terlalu sibuk menutup iklan demi iklan.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang sekatan iklan, terdapat ratusan sambungan penyekat iklan yang tersedia untuk Firefox dan pelayar lain. Jika anda ingin mencuba penyekat iklan yang digunakan oleh Firefox, klik di sini untuk memuat turun pelayar yang mengutamakan privasi.